Halaman

Perhatian!

Harga novel yang diiklankan adalah tidak termasuk dengan kos pos. Harga pos bergantung kepada jumlah novel yang anda order. Kebiasaannya bagi satu novel adalah:

Semenanjung = RM8
Sabah / Sarawak = RM11

Makluman!

Saya hanya menggunakan khidmat Pos Laju Malaysia sahaja. HARI NI ORDER, ESOK POS, LUSA SAMPAI! (penghantaran dilakukan pada setiap hari kecuali Ahad)

17 January 2012

Cinta Perisa Dia





Cinta Perisa Dia
Lyn Dayana

Harga: RM 21.00
ISBN: 978-983-124-751-8
Halaman: ~480
Bahasa: Bahasa Melayu
Berat: 400 gram
Tarikh Terbit: 5 Jan 2012
Kategori: Novel






Sinopsis

Cinta itu mana boleh dipaksa. Ditolak, pasti jatuh. Dibuang, pasti sakit. Bagi Hadif Imran, cinta boleh ditangguh sehingga satu detik yang pasti. Dia sudah dewasa, biar dia yang menentukannya. Perisa vanila, coklat atau strawberi... itu haknya.

Bagi bonda, dia mahu menantu. Bonda impikan cinta berperisa iman, bersalut takwa dan dihiasi kasih sayang untuk anaknya. Hadif jadi risau bila bonda sudah naik angin! Bagaimana kalau yang dipilih bonda berwajah ratu, berlesung pipit, tetapi sengau? Atau pandai mengaji, mahir memasak, tetapi rongak giginya? Hadif buntu, bonda naik hantu! Cinta berperisa apa agaknya di akhir cerita?

Rancangan Mencari Menantu bonda rancangkan bersama TV9. Hadif resah dan kecut perut melihat calon menantu bonda. Ada yang terlebih manja, ada yang garang menggoda dan ada yang bahaya untuk dimiliki! Ketar di kaki dilindungi dengan senyuman. Bonda merencana, Hadif susun strategi. Namun kalau sudah cinta... jodoh datang juga tanpa dipaksa.

Sedutan Dari Novel

Kalau cinta itu teruja,
jantung yang berdegup kian kuat ritmanya.

            Bunyi tawa yang berdekah-dekah itu mengganggu tidurnya. Terasa mahu saja dia menampar Fiqri. Sudahlah menumpang di rumahnya, lagi mahu buat bising! Dia mengambil bantal dan menutup telinganya. Dia penat. Semalam pertunjukan menyambut tahun baru dan giliran dia menyanyi hanyalah menjelang detik-detik terakhir dua belas malam. Kesannya? Dia terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas. Taubat rasanya. Lain kali dia tidak mahu lagi mengambil pertunjukan waktu malam tahun baru. Baik duduk rumah sahaja.

            Pintu biliknya pula diketuk. Ini sudah melampau! Hadif terasa mahu mencekik batang leher Fiqri. Atau paling tidak menyepak kawannya biar terdiam dan menghormati waktu tidurnya.

            “Wei, bangunlah. Berita hangat ni.” Fiqri terus mengetuk pintu.

            “Aku ngantuklah.” Hadif menjerit kuat. Kalau tidak diingatkan Fiqri itu kawan sejak zaman mereka anak-anak lagi, mahu dilenjannya Fiqri.

            “Bonda memang rocklah.” Fiqri masih lagi ketawa berdekah-dekah. Pintu bilik Hadif digendangnya lagi. Biar roboh. Berita yang sensasi ini mesti diberitahu kepada tuan empunya diri.

            Mata Hadif yang baru mahu dikatup menjadi buntang seketika. Bonda? Kenapa dengan bonda? Matanya ditutupkan semula. Fiqri sengaja mahu menganggu tidurnya. Dasar dengki campur iri hati!

            “Wei, kau kena mula pilih warna pelamin ni!” Fiqri menjerit lagi dari luar pintu.
            Hadif masih menutup mata namun perkataan pelamin itu membuatkan dia bangun dari baringannya. Pelamin? Apa yang bonda sudah lakukan agaknya. Dia melompat dari katil. Berlari membuka pintu.

            “Apa kau kata?” Hadif bertanya.

            “Bonda!”

            Fiqri mengunjukkan suratkhabar kepada Hadif.

            ‘Ujibakat Menantu – Bonda mahu menantu dari Hadif’

            Ketika keratan akhbar itu habis dibaca, Hadif terduduk. Bonda mahu buat ujibakat menantu? Ini bukan untuk penggambaran filem atau cerekarama. Ini bukan Rashid Sibir mencari heroin drama terbarunya. Ini juga bukan rancangan Pilih Kasih milik Rosham Nor. Ini rancangan bonda yang kemaruk mahukan menantu. Bonda, mengapa mendera dia? Serta merta teringat ugutan bonda seminggu yang lepas.
            “Kalau Hadif tak pandai cari isteri, biar bonda yang cari!” Puan Adibah menjeling anak terunanya itu. Geram. Sudah 35 tahun dan masih mahu berdalih. Masih sibuk dengan dunia nyanyiannya dan tidak berhasrat mahu memberikan cucu. Dia bukannya ada anak seramai tiga atau empat orang. Anaknya itu anak tunggal. Jika baik, Hadiflah saja. Jika nakal, Hadiflah juga. Dan jika yang mampu menyakitkan hati, Hadiflah yang pandai. Di suruh belajar tinggi-tinggi akhirnya jadi penyanyi.

            “Bonda, jodoh ni bukan boleh dipaksa!” Hadif mempertahankan diri. Malas mahu bercerita tentang topik basi itu.

            “Bonda risau bila orang kata Hadif ni gay.”

            “Astaghfirullahalazim. Ngucap bonda. Buat apa nak dengar cakap orang.” Hadif mengeluh. Persetankan apa yang orang fitnahkan. Namun bila hati bonda terluka, dia merasa kecewa juga. Gila betul dunia sekarang ini. Bila lelaki lambat kahwin saja maka dia dianggap gay? Kerana dia suka berpakaian kemas maka dia semestinya menjadi gigolo? Dangkal sungguh pemikiran manusia yang mengaku moden di dalam era dunia penuh teknologi ini.

            “Bonda nak menantu. Bonda tak kira!”

            Ya, itulah perbualan mereka semasa cuti Krismas yang lalu. Siapa sangka, bonda benar-benar dengan tekadnya. Bonda buat ujibakat menantu? Ada orang yang mahu masukkah? Hadif sudah menggaru kepalanya. Dia melihat Fiqri yang tersengih. Rasa ringan tangannya mahu menyekeh.

            “Kau tahu pasal ni ya?” tanya Hadif.

            Fiqri segera mengangkat tangan. Tanda tidak tahu.

            “Bonda ni dah kemaruk kot?” tanya Hadif lagi. Kegeraman.

            “Ujibakat menantu! Best jugak weh. Ramai aweks boleh kau pilih.” Fiqri masih belum usai lagi tawanya. Siapa sangka, Hadif si penyanyi terkenal itu perlu dicarikan jodoh. Bonda mahu membuat rancangan realiti lagi!

            “Aku tak sanggup weh.” Hadif duduk menung di sofa. Dia menjeling jam di dinding. Sudah pukul sebelas. Subuhnya hanyut lagi. Patut pun bonda mendera dia. Patut pun bonda tidak berhenti menyuruh dia insaf. Bonda! Janganlah seksa anak bonda ni! Hati Hadif terasa semakin kuat berdegup!

No comments:

::: LinkWithin :::

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...